Isnin, 21 Januari 2013

BELAJAR DARIPADA GURU LAIN

Antara blog yang selalu menjadi rujukan saya adalah blog Cikgu Azemi... antaranya saya salinkan semula ke laman ini untuk rujukan.

http://azemi09.wordpress.com/category/munsyi-bahasa/



Memperkasakan / memperkasa…?

Penggunaan imbuhan awalan berangkap memper- dan diper- pada kata adjektif mungkin sudah difahami pelajar. Ramai pelajar sudah maklum bahawa tiada lagi imbuhan akhiran bagi kata adjektif yang telah menerima imbuhan awalan berangkap, contohnya di bawah:-
  • memper + indah > memperindah BUKANNYA memperindahkan / memperindahi
  • memper + lebar > memperlebar BUKANNYA memperlebarkan / memperlebari
  • memper + hebat > memperhebat BUKANNYA memperhebatkan / memperhebati
  • diper + luas > diperluas BUKANNYA diperluaskan / diperluasi
  • diper + dalam > diperdalam BUKANNYA diperdalamkan / diperdalami
  • diper + kuat > diperkuat BUKANNYA diperkuatkan / diperkuati
Bagaimanakah pula dengan keadaan perkataan di bawah:-
  • memperjuangkan > betul / salah ?
  • memperkatakan > betul / salah ?
  • mempersenjatai > betul / salah ?
  • diperhebahkan > betul / salah ?
  • diperbualkan > betul / salah ?
  • dipersoalkan > betul / salah ?
Bagi contoh perkataan di atas penggunaan imbuhan awalan berangkap berserta imbuhan akhiran DIBENARKAN / BETUL. Hal ini kerana imbuhan awalan berangkap tersebut bukannya digunakan pada kata adjektif. Kata di bawah terdiri daripada golongan:-
  • juang > kata kerja
  • kata > kata kerja
  • senjata > kata nama 
  • hebah > kata kerja
  • bual > kata kerja
  • soal > kata kerja
Bagi menjawab soalan sama ada memperkasakan / memperkasa yang betul, kita hendaklah menganalisis kata memperkasakan / memperkasa secara teliti.
  • memperkasakan ( imbuhan awalan mem + perkasa + akhiran kan )
  • memperkasa ( imbuhan awalan mem + perkasa )
  • perkasa ( kata adjektif yang bermaksud kuat, hebat )
> memperkasakan – dari segi tatabahasanya BETUL kerana kata adjektif  berkenaan ‘perkasa’ tidak menggunakan imbuhan awalan berangkap, kerana ‘per’ bagi kata ‘perkasa’ itu bukannya imbuhan awalan per-, sebaliknya kata dasarnya ialah perkasa. JADI tidak timbul perkara seperti yang saya perkatakan di atas; iaitu semua kata adjektif yang menerima awalan berangkap memper- dan diper- tidak perlu diikuti dengan akhiran -kan ataupun -i. 
RINGKASNYA:-
  • memperkasakan √
  • memperkasa  X 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan