Isnin, 29 Jun 2009

ASPEK KOMSAS : PLOT

PLOT....

Sesuatu karya bergerak disebabkan wujudnya peristiwa-peristiwa penting yang dijalin dengan berkesan.. Plot ialah susunan peristiwa dalam sesuatu cereka dengan berdasarkan hukum sebab dan akibat. Peristiwa-peristiwa mungkin disusun secara kronologi dan tidak kronologi. Plot terdiri daripada,

a. Plot longgar
Jalan cerita yang dikemukakan mudah. Pengarang tidak menggunakan unsur plot seperti saspen, imbas kembali dan sebagainya. Sekadar memperlihatkan kisah dan peristiwa secara huraian. Pengarang bertindak sebagai pelapor atau pencerita.
b. Plot organik.
Jalan cerita yang dipaparkan kukuh keadaannya. segala peristiwa dirancang oleh pengarang dengan pelbagai teknik yang memberikan sumbangan kepada binaan plot.
Plot harus mengandungi peristiwa yang terpilih mengikut susunan urutan yang sesuai.



Komponen-komponen Plot

1. Bahagian Permulaan
Pengarang mengemukakan beberapa perkara penting kepada pembaca. Perkara-perkara tersebut ialah watak-watak, permasalahan, latar, sudut pandangan dan nada cerita.

2. Bahagian Pertengahan
Bahagian ini memfokuskan kepada cerita. Sesebuah cerita semestinya berupaya memenuhi tiga perkara, iaitu:
a. Apakah yang telah berlaku?
b. Apakah yang sedang berlaku?
c. Apakah yang akan berlaku?

3. Bahagian pengakhiran
Pengakhiran merupakan penyelesaian sesebuah kisah. Penyelesaian mungkin berakhir dengan kegembiraan atau kesedihan..

Binaan plot dapat dijelaskan melalui gambarajah berikut :



Binaan berikut juga boleh digunakan..namun agak sukar untuk menghasilkan atau mendapat binaan plot seperti berikut.






Teknik Plot :

Teknik plot merujuk cara atau kaedah yang digunakan oleh pengarang untuk mengembangkan plot supaya cerita menjadi menarik dan tidak membosankan . Antara teknik plot tersebut ialah:

  1. Saspen. Saspen merupakan teknik pengarang menyembunyikan keputusan terhadap sesuatu kejadian supaya dapat menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri pembaca. Dikenali juga dengan istilah ketegangan yang bermaksud peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya tentang kesan dan akibat yang seterusnya.
  2. Kejutan. Kejutan merupakan adegan atau insiden yang berlaku di luar jangkaan pembaca. Yakni perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga pembaca. Kesan yang timbul daripada perubahan itu tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca dan menjadikan cerita semakin mencabar dan menarik.
  3. Imbas kembali. bahagian cerita yang mengisi kejadian atau peristiwa pada masa silam yang digunakan untuk kelangsungan cerita yang lebih jelas. Peristiwa boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog watak...
  4. Imbas muka. Imbas muka meruapakan teknik memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu pristiwa yang mungkin atau akan berlaku. Teknik ini bertujuan untuk menyediakan pengetahuan awal kepada pembaca kepada apa yang akan berlaku seterusnya.
  5. Monolog. Iaitu pertuturan sendirian yang ditujukan kepada diri sendiri, watak lain kepada pembaca. Ada empat teknik mengucapkan monolog. 1. dalam bentuk doa , 2. percakapan pada diri sendiri, 3. secara berbisik, 4. dalam bentuk rungutan seorang diri. Monolog merupakan usaha untuk menyampaikan fikiran dan perasaan. Monolog mungkin juga berbentuk doa, ratapan, keluh kesah dan rayuan cinta.
  6. Monolog dalaman merujuk kepada kata hati atau pengucapan batin sama ada apa yang berlegar-legar dalam benak fikiran atau kata hati berbentuk emosi. Teknik ini menjadi wahana untuk merakamkan isi hati, pergolakan batin dan fikiran watak yang memberikan kekesanan cerita.
  7. Dialog. Merujuk kepada percakapan atau pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak. Melalui dialog, watak-watak akan dapat memberikan pendapat dan fikiran yang berkaitan tema. Dialog juga digunakan untuk menggerakkan cerita. Digunakan dengan tanda Pengikat dan pembuka kata (").
  8. Konflik. Satu pertentangan, pergelutan, percanggahan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot. Konflik mungkin bersifat luaran merujuk pertentangan antara watak dengan watak, watak dengan alam sekitar dan watak dengan Tuhan. Konflik juga mungkin pertentangan yang berlaku dalam jiwa watak yang digambarkan melalui pendapat, idea, fikiran, sikap dan hati perasaannya. Lazimnya cerita yang menonjolkan konflik akan kurang memaparkan aksi watak..
  9. Anti klimaks. Satu peristiwa atau adegan yang agak lemah dan mengecewakan daripada sesuatu yang berlaku sebelumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan