Rabu, 24 Oktober 2012

KATA PINJAMAN BAHASA ARAB

Assalamualaikum para pelajar yang dikasihi,
Alhamdullillah saya dapat mencatat lagi di sini walaupun banyak kekangan kerana kesibukan tugas dan kesuntukan masa belakangan ini. Namun untuk sedikit panduan  untuk anak-anak yang dikasihi terutama yang akan menduduki SPM pada 5 November ini, saya ingin menyentuh beberapa perkataan kata pinjaman daripada Bahasa Arab untuk membanyakkan kosa kata yang boleh digunakan dalam penulisan anda.


PERKATAAN
MAKNA DAN CONTOH AYAT
Iktisab
Usaha untuk mendapatkan untung yang halal
Contoh ayat :
 Azmi sanggup melakukan pelbagai iktisab untuk memastikan perniagaanya diberkati Allah.

Iktibar
Pengajaran, contoh, ibarat, teladan.
Contoh ayat:
Kita wajar mengambil iktibar atas musibah yang telah berlaku agar perkara itu tidak berulang lagi.

Ikhtisar
Ringkasan, isi ringkas, synopsis
Contoh ayat:
Khalil menggunakan ikhtisar buku itu sebagai panduan untuknya menyampaikan ceramah dengan berkesan.

Iktikad
Kepercayaan atau keyakinan di dalam hati yang berkaitan dengan rukun iman
Contoh ayat:
Atiff akan menetapkan iktikadnya walau apa sahaja dugaan yang lalui dalam perantauannya.

Ikhtiraf
Menerima atau mengakui
Contoh ayat: (Kamus Dewan)
Malaysia tidak akan ikhtiraf kemerdekaan sesebuah negara yang tidak berperlembagaan.

Maslahat
Sesuatu yang berfaedah (berguna), usaha dan sebagainya yang mendatangkan faedah
Contoh ayat: (Kamus Dewan)
Dia sentiasa meletakkan kebenaran di hadapannya dan tidak mempermudah-mudah sesuatu maslahat yang berkaitan dengan orang ramai.

Qanaah
Sikap berpada-pada, iaitu berpuas hati dengan apa yang ada
Contoh ayat:
Amnani disenangi oleh keluarga suami kerana sikapnya yang qanaah dan menerima suaminya seadanya.

Khusyuk
Dengan penuh minat atau sepenuh hati dengan bersungguh-sungguh, dengan menumpukan perhatian dan minat sepenuhnya.
Contoh ayat:
Para jemaah khusyuk menunaikan solat walaupun dalam suasana yang bising.

Khalil
Sahabat
Contoh ayat:
Salleh bersyukur kerana mempunyai seorang khalil yang ikrab seperti Hanafi.

Khauf
Ketakutan
Contoh ayat:
Dalam saat genting itu mereka menunaikan sembahyang dalam keadaan khauf. (sembahyang yang dilakukan dalam keadaan bahaya seperti di medan peperangan – Kamus Dewan)

Musykil
Ragu-ragu, payah (difahami,dimengerti, dihuraikan), sukar, sulit
Contoh ayat :
Mustaffa masih musykil dengan penjelasan  tentang persoalan yang sedang dibincangkan tadi.

Mustajab
Berjawab atau dikabulkan.
Contoh ayat:
Alami seorang yang sering menunaikan ibadah sembahyang pada sepertiga malam dan doanya selalunya mustajab.

Mustakim
Benar, jujur, lurus
Contoh ayat:
Rayyan  mengamalkan sifat mustakim dalam kehidupannya dan sangat dihormati.

Nadim
Orang kepercayaan, sahabat yang baik.
Contoh ayat:
Qaizen menjadi seorang yang nadim kepada Haris yang menjadi ketuanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan