Khamis, 12 Januari 2012

Dipetik daripada :
http://resam-melayu.com/2010/01/pantun-melayu.html

Perumpamaan dalam pantun
Istilah pantun sendiri bagi orang Melayu seringkali digunakan untuk membawa maksud “umpama” atau “ibarat” (Za’ba,1965). Ini dibuktikan melalui ungkapan
“kami sepantun telur itik” atau
“tuan sepantun kilat cermin”
yang dijumpai dalam rangkap-rangkap pantun lama Melayu, membawa maksud “seperti atau umpama”. Istilah pantun juga sering ditukar ganti dengan perumpamaan. Seperti contoh ayat yang dipetik dari Hikayat Hang Tuah (1975:182) yang berbunyi:-
“akan sekarang adalah seperti pantun orang ‘pagar makan padi’ ”.
Dalam ayat tersebut istilah pantun digunakan sama dengan perumpamaan. Malah mengikut teori Wilkinson (1923) dari perumpamaan atau bidalan jugalah rangkap pantun berkembang, mulanya dua baris, kemudian empat baris dan seterusnya lapan baris. Contohnya:
Dari bentuk perumpamaan:
Sudah gaharu cendana pula.
Menjadi pantun dua kerat:
Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.
Kemudian menjadi pantun empat kerat:
Sudah gaharu cendana pula,
Bedak bertemu dalam puan;
Sudah tahu bertanya pula,
Hendak bertemu gerangan tuan.
Dari bentuk perumpamaan:
Sayangkan kain buangkan baju.
Menjadi pantun dua kerat:
Sayangkan kain buangkan baju,
Sayangkan lain buangkan aku.
Kemudian menjadi pantun empat kerat:
Sayangkan kain buangkan baju,
Kerana baju panjang lima;
Sayangkan lain buangkan aku,
Kerana aku dagang yang hina.
Contoh di atas bukan mencadangkan bahawa semua pantun berkembang secara demikian, tetapi dasarnya perkembangan tersebut telah memunculkan bentuk-bentuk rangkap pantun yang dapat dijadikan model kemudiannya.
Perkembangan pantun
Perkembangan bentuk pantun ini tentunya selari pula dengan perkembangan tema dan fungsi pantun, sehingga akhirnya pantun membentuk satu khazanah puisi lisan yang amat besar jumlahnya. Namun tanpa kajian filologi serta bukti-bukti yang kukuh, kita masih tidak dapat berbicara dengan pasti tentang pensejarahannya.
Dendangan rakyat atau lagu kerja
Walaubagaimanapun, pada kurun ke 14, bentuk pantun yang sudah mantap muncul dalam Hikayat Raja Pasai, karya Melayu tertulis yang dianggap terawal. Namun satu fakta yang tidak dapat disangkalkan ialah kemungkinannya lama sebelum itu, pantun mungkin sudah tersebar luas secara lisan di dunia Melayu. Ia menghiasi dunia seni Melayu melalui keindahan bahasa dan keelokan isinya dan menghibur petani dan nelayan sebagai lirik untuk dendang rakyat atau lagu kerja.
Secara pragmatiknya, pantun mungkin mula dipopularkan sebagai lirik lagu. Mengikut teori Fischer (1961) tentang asal-usul seni, puisi yang terawal adalah muncul dari keperluan untuk membangkitkan semangat kolektif bagi memudahkan dan meringankan sesuatu kerja.
Keperluan kepada bentuk-bentuk puisi yang mudah dihafal, tekanan oleh kesepontanan penciptaan mungkin melahirkan ungkapan-ungkapan bersukat dan berima seperti pantun, yang kemudiannya dilagukan untuk mengendur situasi tegang semasa bekerja.
Bentuk pantun yang unik, sifatnya yang profan, bahasanya yang bebas dari pantang-larang, mungkin menjadikannya mudah dicipta dan kewujudannya yang lebih akrab dengan masyarakat bawahan, memudahkannya tersebar dengan selesa di kalangan masyarakat.
Sifat Pantun
Alam dan kehidupan
Selaras dengan perkembangan budaya dan tamadun manusia, pantun menjadi lebih bertenaga, tukang-tukang pantun dapat berpesta dengan bahasa yang kian kaya perbendaharaannya, unsur-unsur persekitaran pula menjadi lautan ilham yang tidak pernah kering dan pupus. Sebagai unit-unit makna yang dapat wujud kendiri, setiap rangkap pantun boleh membawa satu tema atau idea yang lengkap. Bayangkan betapa banyak idea dan tema yang dapat digarap oleh pantun – tiada nokhtahnya!
Alam bukan sahaja menjadi sumber ilham pencipta pantun, tetapi juga menjadi cermin untuknya menatap dan menginsafi diri manusia. Dari imejan sehingga idea atau persoalan, pantun meniru alam, termasuk segala fenomena dan fielnya, untuk menyindir, memujuk dan mendidik manusia.
Dengan demikian pantun menyentuh semua penjuru kehidupan manusia, memenuhi hampir keseluruhan hidup dan hayat manusia, ia melingkungi kehidupan kanak-kanak melalui dendangan dodoinya, meniti bersama kedewasaannya untuk meratapi cinta yang tak berbalas, rindu yang tak berkesudahan, melangkah bersamanya untuk merintih nasib seorang perantau dan akhirnya mencecah hari tua untuk menegur dan menasihat.
Rima pantun
Dalam berpandukan hukum-hukum kelisanan, maka pantun dicipta. Bentuk pantun dengan demikian memanifestasikan seluruh puitika lisan. Barisnya yang bersukat dan seimbang, dengan pola rima di hujung dan di tengah baris (untuk pantun yang baik), malah pada tahap bentuknya yang awal setiap perkataan dalam pembayang berima dengan setiap perkataan dalam maksud. Sebagai contohnya;
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata;
Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih;
yang apabila diucapkan memunculkan rima yang menjadikannya mudah dihafal dan dingat-balik. Contohnya pantun-pantun di bawah dengan rima dalam dan rima hujung pada baris-baris yang berselang-selang, apabila diucapkan akan memunculkan ritma yang menarik:
Limau purut/ lebat di pangkal
Sayang selasih/ condong uratnya
Angin ribut/ dapat ditangkal
Hati kasih/ apa ubatnya?
(Wilkinson)
Nasi lemak/ buah bidara,
Sayang selasih/ saya lurutkan;
Buang emak/ buang saudara,
Kerana kasih/ saya turutkan.
(Wilkinson)
Pernyataan padat dan ringkas
Pantun juga perlu patuh kepada satu penjimatan ketat pernyataan-pernyataan linguistik yang sesuai dan ini dapat dilihat dalam baris-baris pantun yang ringkas tapi padat makna, seperti:
Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang cantik budi,
Yang indah bahasa.
(Overbeck)
Sekali pergi menuba,
Sekali ikan merimbat;
Sekali adik disapa,
Setahun rindu terubat.
(Wilkinson)
Untuk kepadatan juga, pantun mengambil ungkapan-ungkapan perumpamaan untuk mengisi baris-baris maksudnya. Perumpamaan memang bersifat sarat makna hatta membuka kepada tafsiran yang jamak. Penggunaan perumpamaan juga memudahkan hafalan, kerana perumpamaan adalah ungkapan-ungkapan yang dikongsi bersama, yang selalu diguna dan didengar justeru cepat terakam di minda. Bentuknya sendiri adalah dipolakan untuk mudah dihafal dan diingat balik. Contohnya:
Tuar di hulu tuar di hutan,
Tuar di kuala tak mengena;
Sesal dahulu pendapatan,
Sesal kemudian tak berguna.
(Zakaria Hitam)
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
(Wilkinson)
Budaya penyampaian
Penggunaan perumpamaan dalam semua bentuk komunikasi verbal, adalah sebahagian daripada etos budaya lisan. Bentuk komunikasi yang berbentuk oral-aural atau “face to face” menjadikan komuniti lisan wujud dalam situasi yang rapat dan dekat. Contoh seperti upacara adat meminang.
Dalam komuniti yang demikian, sesuatu maksud yang hendak disampaikan perlu disampaikan dalam bentuk halus, berlapik dan bijaksana kerana penerima mesej berada di depan muka. Kelangsungan bicara akan dianggap biadap, bebal, atau menyentuh perasaan si penerima, sehingga mengguggat kesepaduan kolektif.
Dari keperluan inilah ungkapan-ungkapan kias-ibarat, perumpamaan dan bidalan muncul. Melaluinya sindiran, teguran, kritikan di sampaikan secara tersirat dan halus, tetapi tepat dan menghiris. Pantun memanfaatkan alat bahasa yang demikian, kerana pantun sentiasa diucapkan dalam konteks sesuatu situasi.
Perbandingan dalam pantun
Apa yang tidak dapat diperikan atau didefinisikan dengan perkataan, maka dirujuk kepada benda sebagai bandingan. Contohnya dalam lipur-lara, pencerita sering mengambil sifat-sifat benda atau objek untuk memerikan sesuatu yang payah didefinisi. Pemerian tentang konsep seperti kecantikan seorang puteri contohnya sentiasa dilakukan dalam bentuk simile dan metafora. Bentuk kening yang cantik, melengkung halus disamakan dengan “taji dibentuk”, matanya yang bercahaya di samakan dengan “bintang timur”, dahinya yang sempit, melengkung disamakan dengan “sehari bulan”, rambutnya yang lebat panjang dan berombak disamakan dengan mayang mengurai, hatta seluruh anggota badannya didefinisi melalui metafora. Perumpamaan lahir dari kecenderungan yang demikian. Kemiskinan contohnya diumpamakan dengan kehidupan ayam yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Persahabatan yang akrab disamakan dengan isi yang bertaut pada kuku.
Ciri budaya lisan pantun
1. Unsur berulang dalam pantun
Satu ciri gaya bahasa lisan yang disebut di awal tadi ialah adanya unsur perulangan (anafora, epifora) pada ungkapan dan perkataan. Dalam budaya lisan perulangan adalah salah satu mekanisme mnemonik yang penting. Perulangan dari sudut stailistik adalah teknik penggunaan perkataan yang dianggap berlebih-lebihan dan boros, justeru dilihat sebagai satu kelemahan.
Namun dalam budaya lisan perulangan adalah teknik bijak bukan sahaja untuk membantu ingatan tetapi membangkitkan ritma yang juga penting untuk hafalan. Kerana itu mengikut Ong (1982) budaya lisan itu bersifat “redundant atau copious.” Walaupun perulangan menyarankan adanya pemborosan kata-kata yang seolah-olah bertentang dengan keperluan bentuk pantun kepada penjimatan bahasa, tetapi dalam pantun perulangan tidak menjejaskan kepadatan bentuknya. Kerana yang diulang adalah perkataan yang sama, dan kemunculannya berlaku dalam kawalan sukatan baris pantun contohnya:
Kalau padi katakan padi
Jangan saya tertampi-tampi,
Kalau jadi katakan jadi
Jangan saya ternanti-nanti.
(Hamilton)
Kalau subang sama subang
Kalau sanggul sama sanggul,
Kalau hilang sama hilang
Kalau timbul sama timbul.
(Hikayat Awang Sulung Merah Muda)
2. Pembayang dan maksud, membayang maksud melalui bunyi
Budaya lisan wujud dalam suatu ruang yang didominasikan oleh bunyi (sound dominated world). Keadaan ini mempunyai kesan ke atas bentuk pantun. Pantun mempunyai dua baris awal yang disebut pembayang maksud, sampiran. Baris pembayang maksud bukan berdiri seperti perumpamaan yang membayang maksud melalui alusi kepada perlakuan, sifat, fiel, alam, walaupun pembayang maksud dalam pantun juga menggunakan alam sebagai objek peniruannya.
Contohnya makna perumpamaan
“embun di hujung rumput”
merujuk kepada sifat embun yang tidak kekal contohnya. Tetapi pembayang maksud pantun menyampirkan makna melalui bunyi perkataan. Contohnya ungkapan
“selasih dalam padi”
bukan mendapat maknanya dari sifat selasih atau padi tetapi dari bunyi kedua-dua perkataan yang secara berurutan merujuk kepada
“kasih dalam hati”.
Pembayang maksud dengan demikian membayangkan maksud melalui bunyi. Contoh yang mudah:
Pinggan tak retak nasi tak dingin (pembayang)
Engkau tak hendak aku tak ingin (maksud)
Dalam pantun dua baris di atas, maksud pantun muncul dari padanan bunyi perkataan di baris pembayang, bukan dari sifat-sifat perkataan tersebut.
Ini yang dimaksudkan oleh Wilkinson (1923) sebagai “suggestion through sound” atau “proverb by sound suggestion”. Kerana baris pembayang masih boleh berdiri sebagai umpama, tetapi umpama melalui bunyi bukan sifat. Dalam proses penciptaan pantun “cadangan makna melalui bunyi” ini memudahkan tukang pantun mencipta atau mengingat baris maksud sekiranya beliau terlupa atau perlu mencipta dengan cepat.
Di tahap awal penciptaan pantun mungkin seseorang itu hanya diberi pembayang maksud dan diminta mencari maksud melalui cadangan bunyi. Contohnya jika diberi pembayang:
Siakap senohong gelama ikan duri
Maka respons yang cepat mengikut bunyi ialah:
Bercakap bohong lama-lama mencuri.


3. Pemikiran lisan dalam pantun
Respon berkait fenomena alam dan kehidupan manusia
Pemikiran lisan seperti yang disebut oleh Ong (1982) di atas adalah bersifat “situational”, dan “close to the human life world”. Pemikiran “situational” mengikut Ong “develops around the action of human”. Pantun dengan demikian bersifat “situational” dalam ertikata juga ia mungkin dicipta sebagai respons kepada sesuatu fenomena alam, sesuatu peristiwa atau pengalaman manusia yang signifikan.
Idea dalam pantun, baik yang termuncul melalui pembayang maksud atau maksud menunjukkan pantun amat akrab dengan “lived experience” sama ada yang dihayati atau diamati. Manusia lisan, pra-modern adalah manusia yang hidup akrab bukan sahaja dengan komuniti manusia tetapi juga dengan komuniti bukan manusia. Persekitaran wujud sebagai satu masyarakat yang besar; objek dan fenomena alam ditafsir sebagai ahli kepada masyarakat tersebut yang berinteraksi di antara satu sama lain sama seperti masyarakat manusia.
Kalau perumpamaan mengambil alam sebagai cermin untuk manusia menatap dirinya, dan membaiki dirinya maka pantun menggunakan alam sebagai cermin untuk membayang maksudnya. Kecenderungan pantun untuk mengeksploitasi seluruh fenomena alam sebagai pembayang maksudnya adalah kecenderungan seni yang dipengaruhi oleh konvensi perumpamaan. Perumpamaan sendiri adalah bersifat amat akrab dengan alam. Sesuatu sifat, fiel, kelakuan makhluk alam yang diamatinya, disimpulkannya menjadi ibarat kepada manusia.
Respon berkait kepada situasi
Ciri pantun yang dikatakan bersifat “situational” dapat dibuktikan contohnya daripada teks Sejarah Melayu. Pembunuhan Tun Jana Khatib mendorong orang membuat pantun mungkin untuk mengabadikannya atau untuk moral di sebaliknya:
Telur itik di Senggora,
Pandan terletak di langkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terhantar di Langkawi.
Demikian juga peristiwa kematian Chau Pandan yang dipanah secara ghaib oleh seorang Sidi Arab dibuatkan orang pantun:
Cau Pandan anak Bubunnya
Hendak pergi menyerang Melaka
Ada cincin berisi bunga
Bunga berladung si air mata.
Peristiwa kota yang terbakar di Pahang memunculkan pantun berikut:
Kota Pahang dimakan api,
Antara Jati dengan Bentan;
Bukan kularang kamu berlaki,
Bukan begitu perjanjian.
Penangkapan Raja Abdullah yang berpaling tadah kepada Melaka untuk menyebelahi Feringgi disindirkan melalui pantun berikut:
Ketua-ketua raja duduk
Jangan ditimpa papan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan.
4. Budaya lisan yang bersifat agonistik
Satu ciri budaya lisan yang juga menarik mengikut Ong (1982) ialah bahawa budaya lisan itu bersifat agonistik – berlawan, bersaing, baik dalam gaya hidup maupun dalam berbicara. Masyarakat lisan yang sering juga diassosiasikan dengan pra-moden atau istilah kasarnya primitif, wujud dalam konteks “pergelutan” untuk survival. Mereka sentiasa bergelut untuk mendapat makanan, bergelut dengan unsur-unsur alam yang kadangkala dirasa menindasnya, bergelut dengan penyakit, musuh, dan sebagainya.
Dan lagi pula dalam konteks pemikiran animistik, seringkali penyakit atau malapetaka yang menimpa diri dihubungkan dengan “buatan” sihir manusia lain dan ini membangkitkan rasa curiga, syak-wasangka terhadap satu sama lain. Semua keadaan ini mencengkam jiwa dan menegangkan kehidupan. Secara psikologikal keadaan yang berlarutan beginiini akan melahirkan rasa “antagonism” yang dimanifestasikan melalui sifat-sifat yang agresif dan agonistik.
Komunikasi secara lisan memang merapatkan dalam erti mendekatkan jarak fisikal di antara manusia, tetapi secara paradoks juga ia meninggikan antagonisme atau sikap agonistik ini. Mengikut Ong (1982:45):
When all verbal communications must be by direct word of mouth,
involved in the give and take dynamics of sound, interpersonal
relations are kept high – both attractions and even more, antagonisms.
5. Lisan dan tulisan
Dalam komunikasi lisan bukan sahaja perkataan tampil secara berdepan, tetapi aspek-aspek lain yang terlibat dalam komunikasi seperti nada suara, riak muka dan gerak-geri badan turut dipamerkan dan ini semua membantu penyampaian mesej dan dapat ditafsirkan secara negatif atau positif. Ini berbeza dengan budaya tulisan di mana komunikasi di antara manusia dijarakkan oleh teks bertulis; pertembungan secara langsung dapat dielakkan, justeru ketegangan yang bersifat fisikal sentiasa dapat dikendurkan.
6. Pengunaan kata-kata
Dalam budaya lisan persaingan dalam penggunaan kata-kata adalah amat penting. Seseorang dihormati kerana keupayaannya menjatuhkan lawan melalui “verbal combat” pertarungan lidah yakni “a series of verbal manoeuvres, a polite duel, a contest of wits, an operation in oral agonistic” (Ong, 1982:68) – melalui penggunaan teka-teki, perumpamaan, puisi, muslihat bahasa yang banyak berlaku dalam masyarakat pra-modern.
Kelisanan meletakkan pengetahuan dalam satu perebutan. Perumpamaan, teka-teki dan terutamanya pantun bukan hanya dicipta untuk menyimpan pengetahuan bangsa tetapi juga merangsang ahli masyarakat untuk terlibat dalam satu pertarungan lidah dan kebijaksanaan.
Penyebutan satu perumpamaan, atau teka teki, akan mengundang pendengar untuk membalasnya dengan perumpamaan atau teka teki yang lain. Maier (1985) menggelar budaya yang begini sebagai “rhetorical culture” seiras apa yang disebut Ong (1982) sebagai “verbomotor cultures”. Budaya tersebut dicirikan oleh “life that depends on the effectiveness of words” (Ong, 1982:68). Dalam budaya yang demikian akan sentiasa wujud persaingan dan cabar-mencabar yang kadangkala membangkitkan ketegangan.
Dalam sastera rakyat seperti lipur lara contohnya, sifat agonistik yang sudah lama tertanam ini muncul bukan sahaja melalui pertarungan bahasa (verbal combat) seperti cabar-mencabar di antara wira dan penjarah, berbalas pantun di antara wira dan puteri, antara musuh dan musuh (lih contohnya dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Seri Rama – versi lisan) tetapi diterjemahkan juga, mungkin tanpa sedar oleh pencerita melalui pola perwatakan dalam plot cerita.
Dalam pola tersebut, watak-watak selalu dimunculkan dalam bentuk kontras baik dari sudut fisikal, nilai, maupun peranan supaya sentiasa berlaku pertembungan dan pertentangan. Motif persaingan (untuk merebut puteri atau objek-objek sakti) selalu diketengahkan untuk membangkitkan antigonisme di antara watak. Konflik sering bersifat fisikal dan diselesaikan secara fisikal melalui pertarungan atau peperangan.
Pantun lahir dalam budaya yang agonistik ini. Pantun dua kerat contohnya lebih bersifat teka-teki yang berdasarkan bunyi (sound riddles). Contohnya:
“Pinggan tak retak nasi tak dingin” atau “mengata dulang paku serpih”
adalah sekaligus teka teki dan pembayang maksud . Ia menguji kebijaksanaan, mencabar respons lawannya untuk memenuhi baris maksud sebagai jawapan – satu peperangan kecerdasan.
Pantun sendiri dihidupkan dalam suasana yang agonistik. Ia digunakan dalam upacara yang melibatkan balas-membalas pantun – contohnya seperti dalam istiadat meminang, buka pelamin, bertandang; dalam usik-mengusik dan uji- menguji di antara kekasih atau sindir-menyindir dan cabar-mencabar di antara musuh. Contoh pantun-pantun yang digunakan untuk mencabar lawan seperti yang terdapat dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Pantun Tuan Puteri dayang Seri Jawa kepada Tuan Puteri Dayang Nurumah:
Rumah gadang di baruh rambai,
Cukup tiang tiga puluh;
Tuan puteri memakan cabai,
Sirih ditanam belum tumbuh.
Dijawab oleh Tuan Puteri Dayang Nurumah:
Sahaya tidak tahu rebana,
Dapat setindih tekan-menekan;
Saya tidak tahu senda makna,
Sirih diberi saya makan.
Pantun Tuan Puteri Dayang Seri Jawa:
Batang padi tercuat-cuat,
Batang bemban terpanggung-panggung;
Kehendak hati segeralah buat,
Badan siapa yang menanggung?
Dijawab oleh Puteri Dayang Nurumah:
Kenapa kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi?
Kenapa rambutnya panjang,
Kalau tidak berani mati?
Dan berbalas pantun di dalam Hikayat Seri Rama: …Maka sahut Maharaja Dewana:
Berapa tinggi pucuk pisang,
Tinggi lagi asap api;
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi harap kami.
Maka sahut Tuan Puteri:
Kalau begitu kembang jalannya,
Ikan masuk ke berombong;
Kalau begitu rembang katanya,
Cuba berserah beradu untung.
Maka sahut Maharaja Dewana:
Meranti cabangan dua,
Ditarah buat kerentung;
Sedang mati lagi dicuba,
Inikan pula beradu untung.
Dipetik dari PANTUN DAN PSIKODINAMIKA KELISANAN, Noriah Taslim, PPIK, Universiti Sains Malaysia, melalui web pantun USM.
Nota: Artikel yang panjang tetapi menarik. Mengungkap sejarah, sifat dan ciri pantun serta penghuraian yang jelas pada setiap keterangan. Syabas diucapkan kepada penulis Noriah Taslim.
Artikel sama yang berkaitan:
  1. Pantun – Di Manakah Keindahannya? Banyak pantun Melayu dahulu dikarang dengan penuh makna tersirat. Dewasa ini pantun tidak lagi mantap dan seringkali...
  2. Pantun Melayu – Ringkasannya Berapa ramaikah masyarakat Melayu tahu mengenai Pantun? Rata-rata masyarakat Melayu mengetahui bahawa Pantun adalah salah satu puisi...
  3. Agama dan Pantun Melayu Persoalan agama diungkapkan dalam pantun yang bertemakan hukum-hakam, tauhid, amalan syariat, rukun iman dan rukun islam yang...
BERIKUT INI DISERTAKAN HASIL PANTUN DARIPADA PARA PELAJAR TINGKATAN          5 AL-MALIKI, SAM.Rawang, Sel.

Burung berkicau terbang-terbangan,
melayang jauh ke langit tujuh,
indah alam hijau-hijauan,
udara bersih hidup aman;
Padamu Tuhan kutadahkan tangan.
kalau begini susah dan payah,
pergi berperang sanggup kukorban,
Harapan pejuang sejahtera aman.

Gadis molek pujaan hati,
mata bersinar terbuka luas,
mula terpikat berlaga bahu,
ajak berjalan di jalan sunyi:
Tuhan dosaku menggunung tinggi,
tapi langitmu melangit luas,
harga selautan syukurku,
buat setitik nikmatMu di bumi.

Di bumi hijau tanah kupijak,
mendaki gunung di puncak tinggi,
lautan luas tanah terbentang;
Di sekolah SAMER aku dididik,
untuk mencari idrntiti sendiri,
agar menjadi pelajar cemerlang.

(MOHD FAIZ B. MOHD SHAFIE (5 Al-Maliki-2012))

Bunga Kemboja mekar di awangan,
menanti teruna untuk bersama,
tiba masanya pastikan pergi;
waktu umpama satu bayangan,
sentiasa mencari di mana-mana,
kerana perginya takkan kembali.

(MUHD AFIQ B. MOHD ANUAR
- 5 Al-Maliki, 2012)




Dua tiga kucing berlari,
mana kan sama si kucing belang.
semangatnya selalu membara-bara;
gagah perkasa si harimau berdiri,
usia muda dah tunjuk belang,
itulah dia Harimau Malaya

(Aiman Sani - 5 Al-Maliki, 2012)

Tenang air di hilir sungai,
Mengalir tenang dibawa angin,
Ikan yang segar adalah pasti,
dek air bersih suci nan murni;
budi yang baik jangan dirungkai,
datangnya cantik seperti sampin,
jika tiada buruklah diri,
nanti dibenci sehingga mati.

Pulang ke rumah waktu petang,
letih sudah berhari di ladang,
pulang dengan tawakal Tuhan;
jangan diganggu orang yang pantang,
disentuh sekali tentunya berang,
sifat yang marah susah ditahan.
(KHAIRUL RIDZUAN MAT SALIM -5 Al-Maliki, 2012)

 
Ke bazar Ramadan membeli keria,
tidaklah banyak tidak pula kurang,
buat pengisi santapan malam;
muka yang masam berubah ceria,
yang riang pula bertambah girang,
kesan budaya memberi salam.

Tinggi-tinggi mendaki gunung,
untuk menimba air telaga,
airnya jenih lagilah putih,
orang melihat pasti terpikat;
Tuntutlah ilmu biar bergunung,
adab belajar harus dijaga,
agar hidup tidak bertatih,
berjaya dunia cemerlang akhirat.
(MUHAMAD AIDIL ADHA BIN JOHAR
- 5 Al-Maliki , 2012)

Indahnya bunga tarikan utama,
Menjadi tarikan santapan mata,
Mendapat tenang di dalam hati;
susah senang kita bersama,
kerana iman hubungan terjaga,
sahabat sejati hingga mati.
(NUR MUIZAH BT. MOHD NOOH
- 5 Al-Maliki, 2012)


Sarang merbah di celah dahan,
Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejaran si anak rusa,
Tampak dari tanah seberang;
Bersyukur aku pada Tuhan
Kalau nasib memang begitu,
akan merana sepanjang masa,
Harap pada kasihan orang.
(MOHD SADIQ NOOR B. IDRIS)

Bunga mangga sedap rasanya,
Dimakan bersama ahli keluarga,
dicicah pula dengan kicap;
Budi bahasa budaya kita,
amalan semua rakyat Malaysia,
Hidup sentiasa aman bahagia.
(SITI MARSITAH BT. ABD SAMAT)

Bunyi kicauan si burung puyuh,
menandakan pagi sudah menjelma,
nelayan keluar mencari rezeki;
rajin menolong ibu dan ayah,
menghormati mereka tuntutan agama,
agar tak sesal kemudian hari
(SITI SAMEENA BT. MOHD HUSSAIN)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan