Rabu, 13 Julai 2011

NOVEL INTERLOK SPM

Maklumat dalam catatan ini diambil daripada catatan di blog yang lain untuk dikongsikan bersama khususnya untuk para pelajar SAMER.... rajin-rajinlah menjelajah untuk kebaikan bersama..
 
Dipetik daripada  :  http://sevenofus-fikaisa.blogspot.com/2011/04/sinopsis-novel-interlok.html


SINOPSIS NOVEL INTERLOK


Seman anak kepada Pak Musa dan Mak Limah rasa tertekan setelah bapanya meninggal dunia. Dia baru mengetahui semua harta peninggalan bapanya sebenarnya milik Cina Panjang atau Cing Huat. Mereka hanya menumpang di tanah itu. Hal ini demikian kerana Pak Musa telah mengadaikan segala hartanya termasuklah rumah dan tanahnya kepada Cina Panjang.

            Cing Huat ialah tauke sebuah kedai runcit di pekan Simpang Empat. Cing Huat yang berasal dari China datang ke Tanah Melayu bersama-sama dengan bapanya, Lee Kim Lock. Setelah melalui pelbagai dugaan akhirnya bapanya telah membeli sebuah kedai runcit di pekan Simpang Empat. Sejak itu, kehidupan Cing Huat dan bapanya bertambah baik. Apabila bapanya meninggal dunia, Cing Huat mewarisi perniagaan kedai runcit tersebut.

            Lebih dua puluh tahun dahulu, Maniam telah meniggalkan isteri dan keluarganya di India menuju ke Pulau Pinang. Sesampainya di Pulau Pinang, Maniam telah bekerja sebagai kuli di pelabuhan Maniam terlalu kecewa menerima berita bahawa isterinya, Ambika telah mengikut Pillay, seorang lelaki kaya di kampung mereka. Dia telah membuat keputusan untuk ke seberang. Setelah berbulan-bulan bekerja dari satu kebun ke satu kebun, akhirnya Maniam bekerja di sebuah kebun kelapa di Cangkat Lima


            Maniam telah berkahwin dengan Malini, anak kepada Perumal, mandur di kebun kelapa tempatnya bekerja. Kehidupan Manian dan isterinya sangat bahagia sehinggalah Suppiah muncul. Suppiah menyebarkan cerita bahawa Maniam sebenarnya telah berkahwin di India dan membuat fitnah kononnya Maniam sengaja meninggalkan isterinya itu. Suppiah turut menghasut rakan-rakannya supaya mengusir Manian. Oleh itu, Maniam terpaksa meninggalkan Malini yang sedang  sarat mengandung Sewaktu dalam perjalanan meninggalkan kebun itu, Maniam telah dipukul oleh dua orang lelaki namun Maniam diselamatkan oleh Musa. Sebulan selepas peninggalan Maniam, Malini melahirkan seorang anak lelaki, Ramakrisynan. Tiga tahun kemudian, Malini jatuh sakit dan meninggal dunia.



            Seman yang ingin mencari pekerjaan datang ke kebun tempat Maniam bekerja. Daripada cerita Seman, Maniam mengetahui Seman anak kepada Musa. Maniam berjanji mahu membantu Seman. Dua hari kemudian, Seman membawa ibunya, Mak Limah ke kebun getah Cangkat Janggus Bahagian II dan dia diterima bekerja di situ. Sesudah dua tahun setengah Seman dan ibunya meninggalkan Kampung Nyiur Condong, Seman pulang ke kampung itu. Impian Seman untuk  memperisteri Upik tidak kesampaian kerana sudah dua tahun Upik berkahwin dengan Lazim. Akhirnya, Seman berkahwin dengan Gayah, anak perempuan tunggal Mat Ranggi. Seman dan ibunya kembali menetap di Kampung Nyiur Condong.

            Tidak lama kemudian, penduduk gempar dengan kemasukan tentera Jepun Orang Cina tidak suka akan orang Jepun kerana sebelum ini Jepun telah berperang dengan negara China. Oleh itu, ada dalam kalangan orang Cina yang telah menyertai Parti Komunis Malaya. Parsukan gerila komunis ini telah dianggotai oleh Yew Sang, iaitu anak Cing Huat yang telah melarikan diri daripada keluarganya. Yew Seng tidak suka dengan sikap bapanya yang prejudis terhadap orang Melayu dan melarang dia bergaul dengan anak-anak Melayu.

            Seman hampir membunuh Poh Eng, anak Cina Panjang namun dia tidak meneruskan niatnya kerana kasihan akan gadis itu. Seman membawa ibunya, Mak Limah dan Poh Eng berlindung di kebun Cangkat Janggus Bahagian II. Walau bagaimanapun, Yew Seng dan pasukannya telah datang ke kebun tersebut dan menangkap  pengurus ladang  yang berbangsa Jepun itu. Kedatangan Yew Seng telah menemukannya dengan Poh Eng. Yew Seng telah membawa adiknya itu masuk ke hutan bersama-sama dengannya. Maniam dan Mak Limah telah ditangkap. Maniam  disoal siasat oleh Inspektor Ramakrisynan. Akhirnya, Maniam mengetahui Inspektor Ramakrisynan ialah anaknya. Inspektor Ramakrisynan telah membebaskan Maniam dan Mak Limah.

            Inggeris telah masuk semula ke  Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah. Di balai polis, Yew Seng dan Poh Eng yang mencari Mak Limah telah menemui Lazim yang dipenjarakan akibat gerakannya membangkitkan semangat menentang penjajah . Poh Eng dan Yew Seng telah membebaskan Lazim. Inggeris pula telah memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu. Lazim memimpin orang Melayu menentang Malayan Union. Yew Seng dan kumpulannya yang diketuai oleh Kong Beng masuk ke hutan semula untuk melakukan kegiatan gerila apabila hasrat mereka memerintah Tanah Melayu terhalang. Inggeris mengumumkan ddarurat.
           
            Suppiah yang menyertai kumpulan gerila komunis telah menawan Maniam. Berikutan itu, Inspektor Ramakrisynan dan pasukan polis masuk ke hutan untuk menjejaki  gerila komunis . Akhirnya, Maniam dapat  diselamatkan . Sementara itu, Kong Beng dan Suppiah telah dibunuh. Sebelum berlaku pertempuran membebaskan Maniam, Yew Seng dan Poh Eng telah sedar bahawa perjuangan mereka hanya sia-sia.

            Cerita berakhir dengan masyarakat sibuk untuk menyambut dan merayakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Yew Seng  mengajak Seman menyambut Hari Kemerdekaan bersama-sama dengahttp://khirkassim.blogspot.com/2010/12/novel-tingkatan-5-2011-interlok.htmlnnya dan beberapa orang kampung yang lain di bandar. Seman bersetuju unuk mengikut Yew Seng. Yew Seng terpaksa menggunakan kaki kayu kerana kakinya yang cedera telah dipotong.


Dipetik daripada :  http://khirkassim.blogspot.com/2010/12/novel-tingkatan-5-2011-interlok.html

Novel Tingkatan 5 2011 - Interlok

Sinopsis Novel Interlok (Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya)

Buku Empat
Interlok

1
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama dua puluh satu tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu. Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.

2
Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering kali bertentangan pendapat dengan bapanya dan dia juga suka berkawan dan bermain dengan budak-budak Melayu terutamanya Lazim. Perkara yang dilakukannya itu memang tidak disukai oleh bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu. Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng yang menjadi kepala kuli di situ.

3
Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat ranggi untuk dijadikan isterinya. Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.

4
Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-sama dengan pelajar yang lain.

5
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman. Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang.

6
Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.

7
Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.

8
Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.

9
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.

10
Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.

Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di pekan kecil di kawasan tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima.

Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga, Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.

Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka.


Watak Penting dalam Novel Interlok

Terdapat tiga watak yang memainkan peranan penting dalam novel Interlok, terutamanya untuk menghidupkan cerita. Tiga watak itu ialah Seman, Cing Huat, dan Maniam.

1. Seman
Seman ialah anak tunggal Pak Musa dan Mak Limah. Kulitnya lebih cerah daripada kulit bapanya. Dia tidak bersekolah dan cuma belajar mengaji Quran dengan Lebai Man. Oleh itu, dia buta huruf dan tidak tahu membaca dan menulis. Dia berkahwin dengan Gayah, anak Mat Ranggi dan dikurniakan dua orang anak. Dia rajin bekerja, buktinya dia rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran dan kacang selepas menuai padi. Seman tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan, contohnya dia tabah mengharungi hidupnya yang berliku bersama-sama dengan ibunya selepas diarahkan keluar oleh Cina Panjang dari rumahnya. Dia seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan ayah dan ibunya. Seman hormat dan taat akan orang tua, buktinya Seman hormat kepada ibu dan ayahnya dan tidak membantah kata-kata mereka.

Seman seorang yang berani, contohnya dia berani menjemput Pak Utih yang menjadi dukun ke rumahnya pada waktu malam untuk mengubati ayahnya yang sakit, setelah disuruh oleh emaknya seorang diri. Dia bersabar ketika menghadapi dugaan, contohnya dia bersabar ketika menghadapi kematian ayahnya dan menghadapi kehidupan baharu bersama-sama dengan ibunya selepas kematian ayahnya di kebun Cangkat Janggus. Dia suka menolong orang dan tidak menyimpan perasaan dendam, contohnya Seman menolong Poh Eng dengan memberikan perlindungan kepadanya. Perkara itu berlaku selepas kedai Cing Huat dimasuki perompak walaupun dia marah akan Cing Huat. Seman kuat beribadat terutamanya selepas kematian ayahnya, contohnya dia bangun pada waktu tengah malam untuk bersolat sunat dan berdoa kepada Allah. Di samping itu, dia juga menunaikan solat wajib, contohnya dia bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong. Seman bersemangat patriotik, buktinya dia hendak merayakan kemerdekaan negara yang diadakan di Kuala Lumpur.

Seman berfikir secara rasional dan bertindak dengan matang untuk menyelesaikan masalah, contohnya dia telah berjumpa dengan Cing Huat dan bertanyakan hal geran tanah, dan perjanjian dengan bapanya itu. Dia juga mendapatkan pandangan penghulu tentang masalahnya itu dengan ditemani oleh Lebai Man. Seman mudah bersimpati, contohnya dia bersimpati dengan Poh Eng dan membantunya untuk mendapatkan termpat berlindung.

2. Cing Huat
Cing Huat ialah anak Kim Lock yang datang dari negara China dengan ayahnya. Dia digelar Cina Panjang oleh orang-orang kampung. Badannya gemuk dan perutnya gendut. Cing Huat berhijarah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan mengumpul kekayaan. Cing Huat tabah dan gigih, contohnya dia pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan dan kedai runcit di Singapura serta bekerja di lombong bijih bersama-sama dengan bapanya ketika berusia sepuluh tahun. Dia berkahwin dengan Tua Pao dan memperoleh empat orang anak, iaitu Yew Huat, Yew Seeng, Poh Eng dan Poh Kheng. Dia seorang yang pemarah dan panas baran, contohnya dia marah dan menampar Yew Seng kerana melawan kata-katanya. Dia berprasangka buruk terhadap orang Melayu dan menganggap bahawa mereka malas. Oleh sebab itu, dia tidak suka akan anaknya, Yew Seng yang berkawan dengan budak-budak Melayu.

Cing Huat rajin bekerja dan akhirnya dia menjadi tauke kedai runcit yang berjaya. Walaupun dia menyuruh anaknya mengurangkan timbangan sedikit dalam urusan jual beli tetapi dia seorang yang pemurah, buktinya dia mendermakan wangnya sebanyak lima ratus ringgit untuk membina sekolah Cina di pekan Simpang Empat. Selain itu, dia memberikan pinjaman wang kepada Pak Musa dan menggunakan nama Pak Musa untuk membeli tanah orang-orang Melayu. Dia juga murah hati untuk menanggung perbelanjaan tambang bas bagi orang-orang kampung yang hendak merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Namun begitu, dia tidak boleh bertolak ansur dengan syarat pemilikan tanah dan buktinya dia mengarahkan Seman dan Pak Cin keluar dari rumah dan tanahnya.

Cing Huat pintar dan bijak dalam perniagaan, terutamanya dia menawar harga yang paling murah kepada orang yang hendak menjual barang kepadanya tetapi dia tidak akan mengurangkan harga orang yang hendak membeli barang jualannya. Dia juga bijak untuk mengumpulkan harta, iaitu dengan menggunakan orang Melayu seperti Pak Musa dan Pak Cin untuk menjadi proksinya membeli tanah orang Melayu.

3. Maniam
Maniam berasal dari sebuah kampung di Kerala yang terletak di sebuah negeri di pantai barat India Selatan, dan dia datang ke Malaya untuk mencari rezeki kerana keadaan hidupnya yang terlalu miskin di India. Badannnya tegap dan tinggi, tulang rangkanya besar, dan berkulit hitam. Dia baru berumur 30 tahun semasa tiba di Pulau Pinang. Isterinya yang terpaksa ditinggalkan di India lari mengikut lelaki lain dan dia berkahwin pula dengan Malini, anak Perumal di kebun Cangkat Lima.

Maniam rajin bekerja, contohnya dia melakukan berbagai-bagai kerja seperti menjadi kuli di pelabuhan dan bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima serta kebun getah di Cangkat Janggus. Maniam tidak suka akan fitnah, buktinya dia marah akan Suppiah yang telah memfitnahnya iaitu dengan mengatakan bahawa dia sudah berkahwin dan meninggalkan isterinya dalam keadaan miskin di India kepada Mariama dan pekerja-pekerja di ladang itu.

Maniam seorang yang rasional, contohnya dia tidak mahu memberikan alasan dan menerangkan perkara yang sebenarnya kepada bapa mentuanya yang kecewa dengannya setelah mengetahui latar belakangnya itu. Dia seorang yang berani dan benci akan orang yang suka berbohong dan menceritakan keburukan orang lain, contohnya oleh sebab terlalu marah, Maniam mengejar Suppiah yang menyebarkan cerita buruk tentang dirinya. Namun begitu, perkara lain pula yang berlaku iaitu dia ditembak oleh pengurus ladang kerana menyangka Maniam hendak membalas dendam terhadapnya kerana memukulnya di kebun sebelum itu. Walau bagaimanapun, Maniam mendengar kata orang yang lebih tua, contohnya selepas peristiwa itu bapa mentuanya, Perumal menyuruhnya pergi ke tempat lain untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan isterinya di situ bagi mengelakkan persengketaan yang berlarutan. Dia akur dengan kata-kata bapa mentuanya itu.

Maniam suka menolong orang, contohnya dia menolong Seman untuk mendapatkan kerja di kebun tempatnya bekerja. Selain itu, dia seorang yang mengenang budi, contohnya Maniam mengenang budi Musa yang telah menyelamatkannya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika hendak meninggalkan kebun Cangkat Lima pada suatu awal pagi. Maniam seorang yang penyayang, buktinya dia amat berat hati untuk meninggalkan isterinya yang sarat mengandung. Maniam bertemu dengan anaknya, Inspektor Ramakrisyhnan yang tidak pernah dilihatnya itu semasa dia ditahan oleh Jepun. Dia bersimpati kepada orang lain, contohnya dia bersimpati dengan Mak Limah yang ditangkap oleh Jepun dan meminta anaknya Rama membebaskan Mak Limah.



Anda boleh terus ke blog Cikgu Mohd Khir untuk pelbagai rujukan tentang Bahasa Melayu , SPM di  http://khirkassim.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan