Ahad, 9 Ogos 2009

Penggunaan Huruf Besar dalam Penulisan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Untuk catatan kali ini, tajuk yang dibincangkan adalah pengunaan huruf besar dalam penulisan Bahasa Melayu. Penggunaan huruf besar dan huruf kecil amat penting untuk dikaji supaya penulisan akan lebih baik dan betul

Dalam kertas peperiksaan, penggunaan huruf besar dan huruf kecil yang salah diletakkan dalam kesalahan penggunaan ejaan. Oleh sebab itu, catatan kali ini menjurus kepada aspek tersebut.

Dalam Bahasa Melayu, ada peraturan tertentu dalam penggunaan huruf besar dan huruf kecil.

Yang pertama, huruf besar digunakan pada huruf pertama pada awal ayat. Begitu juga huruf pertama dalam ayat yang menyusuli ayat lain; iaitu selepas tanda noktah.

Contohnya :
Hujan lebat semalam telah memyebabkan beberapa kawasan banjir kilat. Beberapa orang telah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana ditemui hampir lemas oleh pasukan penyelamat. Dilaporkan juga dua orang mati lepas dalam kejadian banjir kilat di beberapa kawasan tersebut.

Yang kedua, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama dalam petikan langsung. Contohnya: Menteri Pelajaran berkata "Saya akan memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan dalam mencapai matlamat Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia."



Yang ketiga, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama setiap unsur nama orang; ini juga merujuk berapa pun nama seseorang itu. Setiap huruf pertama dalam rangkaian nama seseorang itu maka huruf besar digunakan. Contohnya, Muhammad Adam Danish, Aishah Umairah, Abdul Rashid, Hakimah dan lain-lain.

Namun, nama penuh yang menggunakan penghubung bin dan binti, anak lelaki, a/p, bt dan seumpamanya. Contoh: Abid Irfan bin Abdul Fahmi, Seroja a/p Manimaran, Bebudan a.l Bebekan dan seumpamanya.

Yang keempat, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama ganti nama untuk tuhan, iaitu Ku, Aku, Dia, Nya, Yang Maha Pemurah dan Penyayang dan seumpamanya.**Kata ganti nama singkatan yang digunakan dalam ayat perlu dirangkaikan dengan kata yang ditulis sebelumnya.
Contoh: kepadaMu Tuhan, hanya kepadaNya aku berserah dan seumpamanya.
Penggunaan kata ganti diri untuk manusia tidak menggunakan huruf besar. Begitu juga kata tuhan yang tidak merujuk kepada Allah. Hanya kata Tuhan merujuki kepada Allah dikhaskan menggunakan huruf besar.

Yang kelima, penggunaan huruf besar untuk gelaran, atau jawatan seseorang tetapi diikuti dengan nama penyandang tersebut. Contoh: Pegawai Audit Encik Ramli bin Sabri, Ketua Pengarah Operasi Dato' Manimaran a/l Perumal dan seumpamanya.

Yang keenam, huruf besar akan digunakan sebagai huruf pertama nama jabatan, kementerian dan seumpamanya. Hal ini juga merujuk penggunaan huruf besar untuk kata ganti nama khas.
Contohnya, Institut Aminuddin Baki, Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Unit Komunikasi dan Koperat, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan seumpamanya.

Ketujuh, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama setiap unsur gelaran kehormat, rujukan kehormat, nama gelaran pangkat atau keturunan dan nama gelaran agama; yang diikuti dengan nama orang.
Contohnya, Yang Berbahagia Tuan Syed Borhan bin Syed Bustamam, Raja Ahmad Alauddin, Haji Muhammad Zaman, Tun Seri Dr. Mahathir Mohammad, dan seumpamanya.
Penggunaan kelapan, huruf besar sebagai huruf pertama sapaan dalam surat rasmi dan sapaan tersebut tidak perlu diikuti oleh nama orang. Contohnya, Yang Berhormat Dato', Tuan Haji, Tuan, Puan, dan sebagainya.
Yang kesembilan, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama nama tahun, bulan, hari, hari perayaan dan kebesaran, dan peristiwa bersejarah. Contohnya, Masihi, Hijriah, Syawal, Oktober,Hari Raya Korban, Hari Pekerja, Israk dan Mikraj, dan seumpamanya.
Yang kesepuluh, penggunaan huruf besar sebagau huruf pertama nama bangsa, suku bangsa, etnik, dan suku bahasa. Contohnya, kaum Bidayuh, bangsa Arab, bahasa Cina, orang Inggeris dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, apabila nama bangsa, suku bangsa dan bahasa itu dijadikan kata dasar kepada kata terbitan, nama tersebut tidak lagi menggunakan huruf besar. Seperti, keinggerisan, kemelayuan, kearab-araban dan sebagainya.
Yang kesebelas, penggunaan huruf besar sebagai huruf pertama nama atau judul buku, majalah, akhbar, dan karangan atau artikel. Contohnya, Berita Harian, Konserto Terakhir, Antologi Anak Laut, "Pembentukan Kata Terbitan", Majalah Diskusi Minda, Jurnal Dewan Bahasa dan seumpamanya. Walau bagaimanapun kata hubung dan kata yang ada dalam sesuatu judul atau tajuk tidak menggunakan huruf besar; kecuali jika diletakkan di awal nama, tajuk atau judul tersebut. Contohnya, Panduan Pengucapan Awam dalam Konteks, Penggunaan Kata Majmuk dan Kata Ganda dalam Ayat, Dan, Kini Dia Berlalu, Dari Sudut Pendengaran, dan seumpamanya.
Yang kedua belas, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama dalam nama geografi dan nama tempat (seperti negeri, negara, daerah, taman dan sebagainya). Contohnya, Kampung Permatang Tengah, Semenanjung Malaysia, Pelabuhan Klang Barat, Jalan Permata dan seumpamanya.
Namun, nama geografi yang disebut secara umum tidaklah menggunakan huruf besar. Seperti, permatang yang tinggi, di anak sungai yang deras, mengunjur ke barat, condong ke arah selatan. Nama geografi yang digunakan sebagai nama buah,nama makanan,atau makanan; juga tidak menggunakan huruf besar seperti buah melaka, mi bandung, nasi goreng pattaya dan seumpamanya.

Ketigabelas, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama dalam singkatan nama gelaran, pangkat dan sapaan. Perkataan tersebut biasa terdiri daripada satu nama sahaja. Contohnya, Pn. Hadijah Harun, Sjn. Hassan, Prof Azizi b. Aziz dan seumpamanya.
Penggunaan huruf besar yang keempat belas sebagai huruf pertama dalam setiap perkataan yang diulang penuh dalam kata ganda seperti, Undang-Undang Kecil Persekutuan, Pertubuhan-Pertubuhan Belia Malaysia, Peguam-Peguam Mahkamah Syariah, Mufti-Mufti Malaysia dan seumpamanya.
Seterusnya huruf besar digunakan untuk semua huruf yang membentuk singkatan nama khas, yang terdiri daripada nama negeri, negara, jabatan, institusi, pertubuhan, organisasi dan lain-lain. Contohnya, KB (Kota Bahru), MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya), SM (Sebelum Masihi), DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) dan seumpamanya.
Huruf besar juga digunakan sebagai huruf pertama sesuatu akronim yang dibentuk daripada cantuman huruf dan suku kata yang membentuk rangkai kata atau frasa. Contohnya, Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara), Intan (Institut Tadbir Awam Negara), dan seumpamanya.
Untuk akronim nama khas yang dibentuk melalui pencantuman suku kata awal sejumlah perkataan pertamatnya juga ditulis menggunakan huruf besar. Contohnya, Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), Bernama (Berita Nasional Malaysia) dan seumpamanya.
Huruf besar juga digunakan untuk semua huruf yang membentuk akronim nama khas hasil percantuman huruf awal setiap kata dalam rangkai kata atau frasa. Contohnya, ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia), USM (Universiti Sains Malaysia) dan seumpamanya.
Yang terakhir, huruf besar digunakan untuk semua huruf yang membentuk singkatan rujukan kehormat, jawatan dan pingat kebesaran. Contohnya, YM (Yang Mulia), YAB (Yang Amat Berhormat), PJK (Pingat Jasa Kebaktian), JP (Jaksa Pendamai), dan seumpamanya.
Berdasarkan penjelasan tersebut, penggunaan huruf besar tidaklah digunakan semata-mata untuk kata nama khas tetapi lebih banyak daripada itu. Dalam penulisan esei, karangan dan rencana; aspek ini mesti dititikberatkan. Para pelajar perlu perihatin dan sensitif dengan penggunaan huruf besar ini terutama untuk penulisan karangan dalam kertas jawapan peperiksaan. Kesalahan penggunaan huruf besar ini akan dikatogerikan dalam kesalahan ejaan dan mungkin menyebabkan pemotongan markah. Biarpun pemotongan markah itu mungkin sedikit, tetapi hal itu akan mempengaruhi markah dalam kertas yang diduduki.
Semoga catatan ini memberikan manafaat untuk kalian, para pelajar umumnya dan calon peperiksaan khususnya.
Wassalam..

1 ulasan:

  1. Bolehkah akronim digunakan diawal ayat...atau perlu dieja penuh..?

    BalasPadam