Ahad, 15 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU...

Tema Hari Guru tahun 2011, "Guru Penjana Tranformasi Pendidikan Negara"...
Setiap tahun kita meraikan sambutan Hari Guru dengan pelbagai tema yang melambangkan pengharapan yang tinggi kepada golongan pendidik dan meletakkan martabat keguruan itu sejajar dengan peranan dan tanggungjawab golongan pendidik itu sendiri.
Tarikh 16 Mei, menjelang lagi... sebelumnya 15 Mei, Sambutan Hari Belia diraikan...  dan pada hari ahad minggu pertama setiap bulan Mei juga diraikan sambutan Hari Ibu... Sedar atau tidak sedar, ketiga-tiga sambutan ini mempunyai tautan yang tersendiri... maka setiap golongan yang diraikan itu mempunyai peranan yang tersendiri dalam menentukan halatuju negara... Ketiga-tiga menjadi keutamaan sebagai pembangun dan individu yang berperanan penuh dalam menjamin keutuhan, kestabilan dan keselamatan negara.
Belia sebagai aset negara perlu dibangunkan dengan berhati-hati dan peranan itu lebih tertumpu kepada golongan pendidik.... dan golongan ibu yang melahirkan para belia dan para guru.... harus terdidik dengan pengetahuan yang mantap... Kita perlu sedar, tangan yang menggoyang buaian itu bisa menggoncang dunia... Maka seorang ibu itu adalah juga seorang guru... yang melahirkan golongan guru yang mendidik kesinambungan pendidikan dalam membentuk aset sesebuah negara itu..


Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

 
USMAN AWANG
1979

~ moga terus berbakti kepada ummat ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan